PULAU REDANG: Keindahan dasar laut di Pulau Redang ibarat 'syurga' bagi penggemar aktiviti sukan rekreasi air seperti snorkeling dan selam skuba.

Bagi memastikan khazanah laut itu terus dilindungi sekumpulan penyelam skuba secara sukarela membantu Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menerusi program 'Reef and Beach Clean Up'.

Menurut Roslee Ramli dan Mohd Farid Mohd Fauzi, tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu dipertingkatkan secara berterusan agar keindahannya dapat diwarisi generasi akan datang.

"Jadi program ini kalau boleh diperluaskan supaya orang lebih tahu, jangan membuang sampah dalam laut seperti plastik.

"Plastik merupakan satu ancaman jugalah kepada laut kita terutamanya kepada spesies penyu," kata Roslee.


Mohd Farid pula menjelaskan sampah yang dibuang ke dalam laut akan tenggelam ke dasar laut.

"Ada kawasan yang sangat banyak sampah. Pada mulanya ia timbul tapi lama-lama nanti akan ada algae menjadikan sampah itu berat.

"Kita nampak di sini memang tak nampak sampah, sebab sampah itu minggu lepas, sekarang dipenuhi dengan algae jadi ia turun ke dasar laut.

"Kita sebagai penyelam bertanggungjawab untuk membersihkan dasar laut," katanya.

Sementara itu, jurulatih selam skuba Ahmad Amri Abdullah @Ghazali menjelaskan kerja pembersihan dilaksanakan secara sistematik bagi mengelak kerosakan batu karang.

"Jadi cabaran di situ adalah untuk menjaga penyelam ini supaya melakukan teknik yang betul sewaktu melakukan kerja-kerja mengutip tapak sulaiman ini.

"Janganlah ambil semua. Fokus saya lebih kepada tapak sulaiman yang sudah cukup matang, yang ada telur. Terdapat teknik yang tertentu untuk angkat, nak jaga supaya telur tidak kita masukkan dalam jaring untuk dibawa naik," katanya.


Pada masa sama, kerajaan disaran mengadakan lebih banyak kempen kesedaran berkaitan laut dan alam sekitar terutama di peringkat sekolah.