SEREMBAN: Penyelia Rancangan Tanah Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas dua pertuduhan salah guna kuasa dengan menyeleweng pembayaran wang kepada 25 peneroka tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shahidi Ammar Abd Aziz, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pegawai badan awam iaitu Penyelia Rancangan Tanah (G19) yang berperanan sebagai Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, telah menggunakan jawatannya itu berkait pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuknya sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) 09/2020 kepada 14 peneroka Felda sama.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, pada September dan Oktober 2020.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad mencadangkan wang jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban.

Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis selain perlu menanggung seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Hakim turut menetapkan tarikh 24 Ogos bagi sebutan semula dan lantikan peguam. -- Sinar Harian