Penyelidik UniMAP berjaya raih anugerah emas berganda di London

Norazian berjaya meraih Anugerah Emas Berganda pada penganjuran Global Women Inventors & Innovators Network (GLOBALWIIN) Summit of Roundtables & Awards 2025 yang berlangsung di London.
Seorang penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), berjaya meraih Anugerah Emas Berganda pada penganjuran Global Women Inventors & Innovators Network (GLOBALWIIN) Summit of Roundtables & Awards 2025 yang berlangsung di London pada Rabu lepas dan semalam.
Ringkasan AI
- Penyelidik UniMAP, Norazian Mohamed Noor dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), meraih Anugerah Emas Berganda di GLOBALWIIN Summit & Awards 2025 di London menerusi inovasi alat ramalan pintar kualiti udara semasa jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.
- Inovasi berasaskan statistik dan pembelajaran mesin AI itu meramalkan kepekatan bahan pencemar seperti CO, O3 dan SO2 serta parameter meteorologi, bertujuan membantu pihak berkuasa membuat tindakan awal berasaskan data sebenar.
- Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti keupayaan penyelidik tempatan bersaing di peringkat global dan memperkukuh reputasi UniMAP dalam bidang teknologi, inovasi dan TVET.
"Anugerah berprestij itu dianjurkan oleh GLOBALWIIN, sebuah platform antarabangsa yang memberi pengiktirafan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang inovasi, ciptaan dan keusahawanan di seluruh dunia," menurut UniMAP dalam kenyataan itu.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Norazian berkata inovasi itu, dibangunkan bagi memenuhi keperluan mendesak terhadap sistem ramalan kualiti udara yang lebih tepat, pantas dan berasaskan data sebenar.
"Cabaran jerebu di rantau ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar. Inovasi ini dihasilkan bagi membantu pihak berkuasa serta masyarakat membuat tindakan awal berdasarkan ramalan kualiti udara yang lebih tepat," katanya.
Norazian berkata alat ramalan itu, turut menggabungkan pelbagai bahan pencemar utama seperti karbon monoksida (CO), ozon (O3) dan sulfur dioksida (SO2), selain mengambil kira parameter meteorologi seperti suhu, kelajuan angin dan kelembapan sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan berbanding model linear tradisional.
Dalam pada itu, dalam kenyataan sama juga, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata pencapaian Norazian itu, membuktikan keupayaan penyelidik universiti tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
"Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama UniMAP dan Malaysia pada peringkat global, tetapi juga menjadi inspirasi kepada golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi untuk terus mencipta impak," katanya.
Zaliman berkata kejayaan itu sekali gus memperkukuh reputasi UniMAP sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi, selaras dengan peranan universiti berkenaan dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan usaha negara memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyelidikan berimpak tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


