NATIONAL
Penyelidikan klinikal pemangkin utama peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi - PM
KUALA LUMPUR: Penyelidikan klinikal bukan sekadar mengenai kemajuan sains malah pemangkin utama mewujudkan peluang pekerjaan, kemajuan teknologi dan pembangunan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, negara menyaksikan perkembangan penyelidikan klinikal sebagai salah satu tunjang utama dalam landskap penjagaan kesihatan dan sosio-ekonomi negara.
“Sejak tahun 2012, ekosistem ini telah menyumbang lebih daripada RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia dan telah mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Setiap ujian klinikal yang dijalankan di negara ini telah menghasilkan kesan berganda daripada hospital ke pusat pembangunan klinikal, hab pengurusan data, rangkaian logistik dan makmal berpusat,” katanya.Beliau berkata demikian di Perasmian CRM Trial Connect 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah beliau, usaha membangunkan penyelidikan klinikal di Asia Tenggara dan Asia, ia bukan hanya sekadar mengenai angka.
“Ia melibatkan manusia. Bakat, Pengetahuan. Ia tentang persiapan golongan muda dengan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran global. Ia tentang menawarkan platform kepada para profesional kita untuk bekerjasama dengan pemikir terbaik di dunia.
“Ia juga tentang memastikan bahawa inovasi bukan hanya memberi manfaat kepada segelintir, tetapi mengangkat kehidupan ramai,” katanya.
Mengulas lanjut, selain usaha mempertingkatkan ujian klinikal global, negara juga perlu mengiktiraf Asia berada dalam kedudukan sebagai peneraju inovasi perubatan tersendiri.
“Penting untuk kita memupuk kerjasama penyelidikan dan membina rangkaian serantau, bagi membangunkan penemuan klinikal yang menangani keperluan kesihatan penting untuk rakyat di rantau ini,” katanya.
Awal bulan ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan Malaysia catat kemajuan terbaharu dalam penyelidikan klinikal dengan 267 penyelidikan baharu dimulakan pada tahun 2024, menurut Laporan Tahunan Penyelidikan Clinical Research Malaysia (CRM) 2024.
Pencapaian itu menjadikan jumlah keseluruhan kajian penyelidikan klinikal dijalankan di Malaysia melebihi 2,500, sejak penubuhan CRM pada tahun 2012.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami