Penyertaan OKU diperkukuh melalui pelbagai inisiatif inklusif - Nancy

Nancy meninjau pameran pada ASEAN Disability Forum (ADF 2025) di Kuala Lumpur. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tidak pernah diketepikan dalam agenda pembangunan negara, sebaliknya terus menerima tumpuan melalui pelbagai inisiatif baharu yang bertujuan memastikan penyertaan mereka lebih inklusif dan berdaya saing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan komited memastikan setiap dasar serta program baharu mengambil kira keperluan sebenar komuniti OKU, termasuk memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan.
“Komuniti OKU perlu berada di meja rundingan. Mereka mesti didengar dan terlibat dalam membuat keputusan untuk diri mereka sendiri, manakala kerajaan menyediakan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ASEAN Disability Forum (ADF 2025), yang menghimpunkan pemimpin, institusi antarabangsa dan penggerak advokasi bagi membincangkan hala tuju pemerkasaan OKU di peringkat serantau.
Menurut Nancy, antara inisiatif terbaharu ialah pengenalan perkhidmatan GrabAssist oleh pihak swasta, yang melatih pemandu khas bagi membantu penumpang OKU dalam aspek mobiliti, komunikasi dan keperluan pergerakan lain.
“GrabAssist melatih 100 pemandu yang mahir membantu penumpang OKU. Ini pembaharuan penting kerana ia memastikan perkhidmatan pengangkutan lebih selamat, sesuai dan inklusif,” katanya.
Perkhidmatan itu pada peringkat awal akan beroperasi di Kuala Lumpur sebelum diperluas ke negeri lain.
Dalam masa sama, Malaysia juga sedang meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memperkukuh perlindungan undang-undang, penyertaan serta hak komuniti OKU secara menyeluruh.
Nancy berkata pelbagai program sokongan pekerjaan turut digiatkan melalui pemadanan pekerjaan, kerjasama dengan syarikat seperti KFC dan rakan industri lain, termasuk peluang keusahawanan bagi OKU yang ingin memulakan perniagaan.
“Kita menyediakan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan laluan pendidikan agar mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan negara. Selain itu, kita turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat untuk memastikan golongan OKU mempunyai akses kepada pekerjaan bersesuaian, peluang keusahawanan serta sokongan berterusan untuk mereka membina kehidupan yang lebih stabil dan berdikari,” katanya.
Beliau menambah bahawa kerajaan melalui Majlis Kebangsaan OKU akan terus memantau keperluan semasa komuniti tersebut bagi memastikan setiap dasar benar-benar inklusif dan memberi manfaat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


