KUCHING: Keputusan United Kingdom (UK) untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan merangsang perdagangan antara Malaysia dan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keputusan UK itu amat dialu-alukan, Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi baharunya dalam CPTPP.

"Bukan sekadar kami mengalu-alukan kemasukan UK ke dalam CPTPP, kami juga menyambut baik kenyataan Setiausaha Perdagangan UK, Kemi Badenoch mengenai minyak sawit, yang mana beliau menolak mitos penebangan hutan dan kempen negatif atau tidak benar mengenai komoditi tersebut," katanya ketika ditemui pada program pengagihan bubur kacang hijau di sini, pada Ahad.

Kerjasama antara kedua-dua negara juga akan membantu menghapuskan stigma dan propaganda negatif terhadap minyak sawit, di samping mempromosikannya sebagai produk yang produktif serta sihat.

Terdahulu, dalam satu kenyataan semalam, beliau memberitahu langkah UK menyertai CPTPP merupakan peluang dalam mengukuhkan hubungan Malaysia dengan UK, memandangkan rantau Indo-Pasifik menawarkan prospek terpenting iaitu sebagai rakan dagang.

Sektor Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO) berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan daripada pengguna UK dan Eropah yang mencari alternatif yang lebih beretika kepada minyak boleh dimakan yang sedia ada.

"Kementerian menyedari kepentingan bagi melindungi alam sekitar serta biodiversiti, dan Malaysia komited untuk membantu sektor Minyak Sawit Mampan menjadi lebih mesra alam," katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata Malaysia akan terus mengadakan sesi libat urus dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai CPTPP agar mereka mengetahui sepenuhnya komitmen Malaysia terhadap MSPO.

-- BERNAMA