Lebih 50 penyokong bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bersolidariti di luar perkarangan Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

Mereka membawa kain rentang dan sepanduk 'Solidariti Bersama Lim Guan Eng' namun keadaan dilaporkan terkawal.

Guan Eng tiba di mahkamah pada jam 10.42 pagi ditemani isterinya, Betty Chew Gek Cheng dan bapanya yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Bagan sempat melaungkan kata-kata 'Berani kerana benar' di hadapan penyokongnya sebelum berjalan memasuki perkarangan mahkamah bagi proses pertuduhannya.

Terdahulu petugas media telah menunggu sejak jam 8 pagi bagi membuat liputan kes Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berada di lokasi bagi memberi amaran supaya semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka pada setiap masa.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sibuk mengawal keadaan lalu lintas.

Guan Eng menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharudin Wan Ladin pada sebutan kes rasuah Guan Eng yang didakwa meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pihak pendakwaan sudah menyerahkan notis kepada tertuduh semalam untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu adalah berkaitan kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.