Penyokong Najib serah memorandum mohon pengampunan Agong

Astro Awani
Ogos 24, 2022 10:13 MYT
Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia berkumpul di hadapan Istana Negara untuk menyerahkan memorandum berkenaan hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Datuk Seri Najib Razak, penyokongnya hari ini menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kira-kira 300 penyokong bekas Perdana Menteri itu diketuai oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia berkumpul di hadapan Istana Negara untuk menyerahkan memorandum berkenaan.
Pihak Istana Negara ketika dihubungi mengesahkan menerima memorandum berkenaan.
Dalam memorandum itu, pertubuhan berkenaan memohon dua perkara termasuk pengampunan serta-merta diberikan kepada Najib.
Mereka turut memohon beberapa figura penting termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Pengarah Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk menghadap baginda bagi menjelaskan mengenai konflik kepentingan membabitkan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Politik: Najib Bersalah | Apa nasib UMNO menjelang PRU15?
Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pula mengerakkan petisyen untuk mengumpul tandatangan orang ramai bagi dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Najib tidak diberi pengampunan.
Dalam tempoh empat jam sahaja, petisyen itu telah mengumpul lebih 21,000 tandatangan dan Bersih meletakkan sasaran untuk mendapat sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan sebelum diserahkan kepada Istana Negara.
Dalam petisyen itu, Bersih memohon Seri Paduka Baginda supaya tidak menggunakan kuasa bagi mengurniakan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri ke atas jenayah yang dilakukannya, demi kepentingan rakyat Malaysia.
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada Najib kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian.
"Ampun Tuanku, sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, beliau (Najib) telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International Sdn Bhd dan telah diberikan proses pengadilan yang seadilnya.
"Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara," katanya dalam petisyen itu.
Menurut petisyen itu lagi, negara tidak seharusnya bertoleransi dengan korupsi dengan mana-mana pihak.
"Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa," ujarnya.
#Najib Razak #Pengampunan Diraja #Yang di-Pertuan Agong #Agong