KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak atau waris boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meskipun beliau telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pakar perundangan, Datuk Salehuddin Saidin berkata, Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 menyatakan bahawa sama ada seseorang yang telah disabitkan dan menjalani hukuman atau waris boleh membuat membuat permohonan pengampunan daripada sultan atau Seri Paduka Baginda.

Menurutnya, apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman, ia merupakan keputusan mahkamah tertinggi yang tidak boleh lagi dirayu.

“Bagaimanapun, sebenarnya kita ada satu peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42 yang memperuntukkan seseorang yang telah disabitkan dan menjalani hukuman boleh membuat permohonan sama ada beliau ataupun warisnya kepada sultan atau Seri Paduka Baginda.

“Apabila dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bermakna permohonan atau petisyen untuk mendapatkan permohonan boleh dikemukakan kepada Seri Paduka Baginda.

“Seri Paduka Baginda boleh memberi pengampunan atau melegakan hukuman seperti mana yang telah dikenakan terhadap beliau,” katanya ketika ditemu bual menerusi Buletin Khas Awani, Astro Awani pada Selasa.

Kes SRC | Najib jalani hukuman hari ini - Penganalisis Politik

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Salehuddin menjelaskan, sekiranya Najib diberi pengampunan sepenuhnya, ini bermakna beliau tidak perlu lagi menjalani hukuman.

Bagaimanapun, ujarnya, dalam masa sama terdapat juga keadaan di mana pengampunan diberikan untuk mengurangkan tempoh penjara atau mengurangkan hukuman yang telah dikenakan.

“Jadi ini bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat oleh jemaah pengampunan yang mana keputusan mutlak datangnya daripada Seri Paduka Baginda,” katanya.