Pulau Pinang sekali lagi dilanda banjir dalam tempoh seminggu, kali ini pada hari pertama pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bencana alam itu menyebabkan ramai calon peperiksaan di beberapa daerah hampir terkandas berikutan laluan terputus hubungan akibat banjir kilat dan tanah runtuh.

Di George Town, ramai pelajar sekolah menengah kebangsaan Abdullah Munshi, terpaksa merendah banjir untuk tiba di dewan peperiksaan.

Ia berikutan Jalan P. Ramlee dinaiki air setinggi 1.2 meter selepas hujan lebih tiga jam bermula 3 pagi tadi.

Bagi mengelak pelajar daripada gagal menduduki peperiksaan, pasukan bomba dan penyelamat menyediakan bot bagi menghantar kesemua pelajar terjejas ke sekolah untuk menduduki kertas pertama SPM iaitu Bahasa Melayu.

Memburukkan lagi keadaan, berlakunya tanah runtuh, termasuk di jalan Teluk Bahang mengakibatkan beratus pengguna lalu lintas terperangkap di kedua-dua arah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Shaari Osman ketika dihubungi berkata pada masa ini keadaan adalah terkawal dan peperiksaan berjalan lancar walaupun beberapa kawasan di George Town dan Butterworth dinaiki air serta tanah runtuh di Jalan Teluk Bahang.

Katanya, 11 pelajar yang mengambil peperiksaan di Teluk Bahang yang terkandas telah diletakkan di sekolah berhampiran bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan masing-masing.