MANJUNG: Kerajaan negeri Perak bersetuju untuk menjual bekalan air terawat kepada Pulau Pinang melalui pembinaan loji rawatan air (LRA) di utara negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perjumpaan kali pertama antara Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan SUK Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa telah diadakan minggu lalu.

Menurutnya, perjumpaan itu bertujuan untuk membincangkan cadangan penjualan dan pembelian air terawat membabitkan kedua-dua negeri.

“Kita telah memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan iaitu Perak akan membekalkan air terawat kepada Pulau Pinang dan bukannya air mentah.

“Ia disebabkan, pertama, kerajaan negeri sendiri hendak memindahkan air ke utara Perak kerana kita mahu menyelesaikan masalah pengairan pertanian di kawasan itu.

“Kedua, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, kita juga perlu memberikan bekalan air yang mencukupi untuk tujuan perindustrian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program One Stop Centre (OSC), Sejahtera Sosial Negeri Perak di Dewan Merdeka, Seri Manjung  di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa isu berkaitan bekalan air antara Pulau Pinang dan Perak memasuki fasa perbincangan yang positif pada Khamis.

Kon Yeow turut mengesahkan bahawa terdapat perkembangan positif meskipun isu terbabit telah berlanjutan selama beberapa tahun.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, apabila Perak memiliki bekalan air terawat di utara negeri itu, ia turut menyelesaikan masalah pertanian yang dihadapi petani dan pesawah setiap kali musim kemarau.

Tambahnya, selain itu masalah keperluan air bagi cadangan pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian itu juga akan dapat diselesaikan.

“Ini bermakna kita boleh menjual air terawat kepada Pulau Pinang dan itulah antara terma yang kita letakkan semasa antara perjumpaan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi memohon peruntukan secukupnya kepada kerajaan Persekutuan bagi membina LRA di utara Perak.