SUNGAI SIPUT: Perak belum selesai membuat perkiraan mengenai jumlah pampasan yang akan dituntut daripada kerajaan Persekutuan bagi mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindunginya daripada sebarang kegiatan pembalakan haram.

Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan menang-menang dan berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak, khususnya kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun membayangkan, jumlah itu mungkin lebih besar daripada yang dituntut Kedah sebanyak RM100 juta.

"Kita tidak akan menuntut perkara yang pelik-peliklah... ia juga bergantung kepada kemampuan dan persetujuan kerajaan persekutuan. Saya tak pasti Jabatan Hutan sudah buat perkiraan atau belum tentang beberapa pampasan yang perlu kita peroleh daripada kerajaan persekutuan.

"Tapi Perdana Menteri telah memberi jaminan dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri hari itu bahawa kerajaan persekutuan akan membayar pampasan kepada mana-mana kerajaan negeri yang menguruskan hutannya dengan baik," ujar beliau.

Saarani ditemui selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Latihan Perhutanan, Sungai Siput (U) pada pagi Ahad.

Menurutnya, sebanyak 11 kawasan hutan simpan baharu di Perak diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal sejak 2017, dengan keluasan lebih 1,741 hektar, termasuk lapan kawasan yang diluluskan tahun ini.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindunginya daripada sebarang kegiatan pembalakan haram.

Menurutnya, kerajaan melalui kementerian berkaitan akan mengkaji formula yang sesuai bagi menetapkan jumlah pampasan terbabit.

Ekoran daripada itu, Kedah meminta pampasan RM100 juta setahun manakala Pahang pula berpendapat mereka wajar mendapat RM150 juta setahun.