IPOH: Kerajaan negeri Perak menggalakkan setiap masjid di negeri ini menubuhkan koperasi masing-masing untuk memberi manfaat kepada ahli-ahli kariah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini terdapat 48 masjid yang telah menubuhkan koperasi mereka.

Menurutnya, dana atau saham yang dikutip boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan yang dapat memberi manfaat kepada ahli.

“Apabila koperasi tersebut sudah berkembang maju, dia akan memperluaskan lagi bidang perniagaannya dan mula mendapat keuntungan yang boleh membayar dividen kepada ahli,” katanya  ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak 2023 di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.

Menurut Saarani, kerajaan telah menyediakan banyak dana bantuan dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi.

“Malah setiap koperasi yang mula ditubuhkan, ada insentif kepada mereka,” ujarnya.

Sementara itu, di dalam ucapannya, Menteri Besar mencadangkan agar koperasi menceburi bidang sekuriti makanan kerana ini kini suatu isu yang begitu mendesak.

Menurutnya, ia juga selaras dengan usaha kerajaan negeri yang  meletakkan sekuriti makanan sebagai agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan rakyat dibekalkan dengan keperluan makanan yang bukan sahaja mencukupi, tetapi juga dijual dengan harga yang berpatutan.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan 11 buah koperasi di Perak tersenarai di dalam Profil 100 Koperasi Terbaik di Malaysia bagi tahun 2022.

Setiap 11 koperasi yang tersenarai menerima insentif RM3,000 daripada kerajaan negeri.