IPOH: Perak berharap Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negeri itu dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, permohonan itu dibuat bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat selain telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, peruntukan RM3 billion itu diperlukan antaranya bagi menaik taraf keadaan jalan-jalan yang rosak termasuk di laluan Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik ke Jeli serta menyelesaikan masalah kekurangan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Alhamdulillah, esok Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan akan hadir memberi taklimat kepada semua Exco dan wakil rakyat termasuk daripada pembangkang serta semua terlibat akan memberi pandangan balas kepada Kementerian Kewangan.

“Diharap Belanjawan 2023 itu belum dibukukan lagi (dimuktamadkan) supaya apa sahaja pandangan dan permintaan kita esok dapat dimasukkan dalam buku Belanjawan itu kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa serta Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Pelajar, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri berharap agar pertemuan dengan Kementerian Kewangan pada Khamis akan memberi gambaran jelas mengapa kerajaan negeri memerlukan peruntukan tambahan berkenaan untuk diluluskan.

“Pada waktu pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sebelum ini kita faham bahawa Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperhalusi cadangan-cadangan Belanjawan 2023.

"Justeru, apa jua pandangan dan pendapat dalam taklimat esok, termasuk permohonan kita sebelum ini dapat diselitkan dalam buku Belanjawan 2023. Jika tidak dapat pada muka surat pertama, dapat dimasukkan pada muka surat akhir pun tidak mengapa," kata beliau lagi.