NATIONAL
Perak heret pemilik lot kosong ke mahkamah jika jadi tempat biak aedes - Exco

Sivanesan (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya pada Selasa. - Gambar Sinar Harian
IPOH: Kerajaan Perak akan menggunakan Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 bagi membendung penularan wabak denggi berpunca daripada premis tidak berpenghuni.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan berkata ia antara langkah penguatkuasaan ke atas lot-lot kosong yang tidak diuruskan dengan baik sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Dengan menggunakan akta ini, tanggungjawab pembersihan lot-lot itu diserahkan kepada pemilik. Pembersihan mesti dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari selepas arahan diserahkan kepada pemilik.
"Kegagalan berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan pemilik didakwa di mahkamah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Denggi Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.Sivanesan berkata tindakan mahkamah akan diambil kepada pemilik-pemilik yang gagal mematuhi arahan kerja seperti dalam notis Seksyen 8 yang dikeluarkan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
"Bagi kesalahan berulang, denda maksimum adalah RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata sebanyak 708 kes denggi direkodkan dengan empat daerah menunjukkan peningkatan kes iaitu Hulu Perak, Muallim, Kampar serta Larut, manakala Matang dan Selama pada Minggu Epidemiologi ke-13.
"Bagaimanapun, sehingga kini tiada kes kematian direkodkan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami