MALAYSIA
Perak jamin aktiviti NR-REE tidak jejas alam sekitar

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun perlombongan nadir bumi adalah potensi baharu bagi menjana hasil negeri, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menjaga kepentingan rakyat. - Foto BERNAMA
LENGGONG: Kerajaan Perak memberi jaminan semua aktiviti perlombongan bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tidak akan merosakkan alam sekitar.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun perlombongan nadir bumi adalah potensi baharu bagi menjana hasil negeri, pihaknya tidak akan berkompromi dalam menjaga kepentingan rakyat.
Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan aktiviti NR-REE itu akan menggunakan peralatan moden dalam aktiviti perlombongan untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan, malah pada masa sama menjaga alam sekitar.
"Apabila kita nak bangunkan projek perintis perlombongan NR-REE di mukim Kenering, Daerah Hulu Perak dulu, antara aspek yang perlu dipatuhi adalah prosedur Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang ketat, terutama melibatkan alam sekitar."Kaedah terkini untuk ekstrak mineral ini tidak boleh lagi korek, tetapi hanya menggunakan kaedah Larut Resap In Situ (ISL), melibatkan penyuntikan larutan ammonia sulfat ke dalam tanah untuk melarutkan unsur nadir bumi, yang kemudiannya dipam semula ke permukaan bumi untuk diproses," katanya pada sidang media selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
Saarani berkata kerajaan negeri tidak akan membenarkan aktiviti melombong NR-REE dilakukan jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta keperluan agensi teknikal terlibat.
"Perlombongan NR-REE yang menggunakan kaedah ISL adalah kaedah terkini yang mampan dengan impaknya terhadap alam sekitar boleh dikawal, kos operasi rendah dan tahap keselamatan pekerja yang baik.
"Jadi, kita tidak perlu bimbang akan runtuhan tanah, tiada penebangan pokok, malah hutan simpan itu sendiri akan terpelihara. Jika ia merosakkan alam sekitar, kita takkan benarkan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan baharu di tiga lagi daerah yang berpotensi mempunyai sumber bahan mineral NR-REE selain Hulu Perak dengan jumlah rizab kira-kira 1.7 juta metrik tan.
Saarani berkata berdasarkan kajian awal yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, daerah itu termasuk Kuala Kangsar, Kinta serta Larut Matang dan Selama, dengan 70 hingga 80 peratus daripada kawasan yang berpotensi mempunyai rizab NR-REE itu terletak dalam kawasan hutan simpan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami