IPOH: Kerajaan negeri telah mengenal pasti 1,389 projek keutamaan yang dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Keseluruhan projek yang dikenal pasti itu merangkumi nilai siling sebanyak RM27.58 bilion.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara projek yang telah dikenal pasti ialah Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

"SVTP adalah satu taman perindustrian baharu di Chemor, yang melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar (2,815 ekar).

"Projek ini dijangka akan menjadi pemacu sektor pembuatan berteknologi tinggi dan bertindak sebagai pemangkin revolusi industri 4.0.

"Kawasan ini akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam tempoh 2021-2024 (4 tahun)," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, SVTP akan memberi fokus kepada lima sektor pembuatan utama berteknologi tinggi seperti Sektor Elektrik dan Elektronik, Sektor Peranti Perubatan dan Farmaseutikal, Sektor Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Sektor Pertanian Pintar dan Sektor Ekonomi Digital.

Manakala WCE pula adalah projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

"Buat masa ini Seksyen 8, 9, dan 10 telah mula dibuka kepada rakyat dengan kos RM1.9 bilion bagi jajaran di Perak," katanya.

Jelasnya lagi, pembukaan lebuh raya berkenaan akan meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan akses ke kawasan pantai barat dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, kenyataan itu menjelaskan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri mengadakan siri jerayawara (roadshow) (RMK12).

Ia dilaksanakan bersama-sama kerajaan negeri Perak.

Program ini dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Sri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

Fokus perbincangan sesi libat urus bersama kerajaan negeri ialah pembangunan digital di bawah RMK12.

Ini kerana ketersambungan digital adalah pemacu utama untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Dalam libat urus semalam, kerajaan negeri menekankan mengenai pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).