Imam dari luar negara tidak dibenarkan menjadi imam solat sunat Terawih di semua masjid dan surau di negeri Perak.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah untuk tidak membenarkan pelaksanaan tersebut.

"Sebagai menjunjung titah tuanku, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan agar masjid-masjid dan surau-surau di negeri Perak menggunakan khidmat pelajar-pelajar tahfiz tempatan," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid di Perak hendaklah memastikan tiada penganjuran sebarang aktiviti politik, termasuk ceramah, yang diadakan di masjid dan surau di dalam kariah masing-masing

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, arahan itu bagi memastikan agar masjid dan surau kekal menjadi pusat ibadah, pusat ilmu dan penyatuan ummah.

Menurutnya, penganjur ceramah agama pula hendaklah mematuhi peraturan yang menetapkan mereka terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah sekurang kurangnya 14 hari sebelum ceramah diadakan.

"Arahan ini terkandung dalam Peraturan Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama dan Dakwah 2013.

"Mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara," ujarnya.