PASIR SALAK: Perak memohon kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi mewujudkan lebih banyak bilangan pusat pembenihan ikan air tawar dalam usaha menampung permintaan pasaran yang semakin tinggi.

Justeru. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri akan membawa cadangan itu ke meja rundingan bersama KPKM dan agensi berkaitan dalam masa terdekat.

“Walaupun kita sudah ada pusat pembenihan ikan air tawar di negeri ini, namun kita melihat ia masih tidak cukup untuk menampung permintaan yang tinggi di pasaran.

“Tambahan pula, sektor ternakan ikan air tawar dalam sangkar juga semakin bertambah, maka sudah tentu dari segi keperluan benih-benih ikan ini amat diperlukan.

“Jadi saya berharap pihak kerajaan khususnya kementerian dan jabatan yang berkaitan akan menggerakkan usaha ini secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersempena dengan lawatan kerjanya ke Perak Tengah di Institut Agro Usahawan (iGROW), Kampung Gajah dekat sini, semalam. 

Mohd Zolkafly berkata, walaupun tidak meletakkan sasaran pertambahan daripada segi jumlah pusat pembenihan, namun kerajaan negeri berharap langkah itu akan membantu meningkatkan kadar pengeluaran benih ikan air tawar dalam kadar pertambahan 10 ke 15 peratus setiap tahun.

Ujarnya, sebanyak 1.67 billion benih ikan air tawar dengan nilai RM80 juta dihasilkan dari 41 pusat pembenihan kerajaan dan swasta di seluruh Perak, berdasarkan rekod pada tahun lalu.

Daripada 41 pusat pembenihan ikan air tawar di Perak, empat daripadanya diuruskan agensi kerajaan iaitu Pusat Pengembangan Akuakultur Tapah; Pusat Ikan Hiasan Enggor, Kuala Kangsar; Pusat Perikanan Darat Banding, Hulu Perak (Utara) serta Pusat Penetasan Udang Galah, Manjung.

Ia memfokuskan kepada pengeluaran ikan dari spesies, Lampam, Keli, Tilapia, Baung, Jelawat serta Udang Galah.

Sementara itu, 37 pusat pembenihan ikan air tawar lain diuruskan pihak swasta iaitu masing-masing 10 di Daerah Kampar dan Manjung; Batang Padang (tujuh); Hilir Perak dan Kinta (masing-masing tiga) serta Larut Matang dan Kerian (masing-masing satu).

Ia pula memfokuskan kepada pengeluaran pelbagai spesies ikan seperti, Keli, Tilapia, Lampam, Kap, Baung serta Udang Galah.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Zolkafly berkata kerajaan negeri akan merangka kertas cadangan exco dalam usaha mengekang aktiviti tangkapan ikan yang melanggar peraturan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagaimana yang berlaku di Manjung, pada Isnin.

“Kita sedang merangka kertas cadangan bagi dibentangkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk satu tindakan yang lebih proaktif dalam membendung penggunaan pukat-pukat yang tak seharusnya diguna pakai untuk penangkapan ikan,” katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial memaparkan beberapa video sebuah bot pukat tunda kelas B melakukan aktiviti perikanan di pesisir pantai Teluk Batik - Teluk Rubiah, Manjung.

Kegiatan mereka bagaimanapun berjaya dikesan nelayan lain dan bertindak mengejar bot terbabit serta melaporkan kepada pihak Maritim Malaysia.