IPOH:Kerajaan negeri Perak bersedia untuk membantu mahasiswa kelahiran negeri itu yang terjejas ekoran penangguhan pendaftaran secara bersemuka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk kemasukan Oktober 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, Razman Zakaria berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan permasalahan yang dihadapi oleh ibu bapa pelajar berkaitan dengan nasihat dari Kementerian Penggajian Tinggi (KPT) itu.

Menurutnya, bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar, kerajaan negeri akan membuka talian hotline bagi mendapatkan maklum balas dan maklumat daripada mereka yang terjejas.

Katanya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak (MPMP), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak).

“Melalui maklumat itu, kaedah bantuan akan dikenal pasti dan bantuan akan disalurkan dalam membantu pelajar yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Razman berkata, kesemua pelajar termasuk di Sabah dan Sarawak yang berasal dari Perak diminta untuk memberikan maklum balas segera bagi memudahkan urusan bantuan.

Beliau meminta semua pihak mengikuti segala arahan khususnya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi keselamatan pelajar sekolah dan pelajar IPT.

Selain itu, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pengurusan sekolah akan meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah masing-masing.

“Ujian swab berkemungkinan akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang berisiko untuk penularan COVID-19,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ibu bapa dan orang ramai diminta memantau pergerakan anak-anak dan mengamalkan SOP keselamatan yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Pelajar boleh menghubungi talian hotline atau WhatsApp di talian 012-664 0846 (Azlen) atau 019-400 0514 (Shima) serta 05-318 3290.