IPOH: Kerajaan negeri Perak sudah menerima cadangan daripada syarikat kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) untuk membina sebuah universiti di Tanjung Malim.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasrat itu disampaikan oleh pengurusan kanan syarikat berkenaan, minggu lalu.

Menurutnya, cadangan itu merupakan rancangan masa depan mereka. selain pelaburan bernilai RM34 bilion yang akan dibawa masuk ke Tanjung Malim menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

"Di China setiap perusahaan ada satu universiti, jadi Perak akan ada satu universiti.

“Universiti itu nanti akan melatih melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang TVET dan teknologi automotif.

"Mereka minta kita menyediakan tempat dan kita sudah pun mencadangkan tempat kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak di sini, hari ini.

Saarani berkata, menerusi kewujudan universiti itu kelak, akan ada beberapa lagi pembinaan bangunan dan institusi lain yang berkaitan.

Menurut beliau, Geely juga berhasrat untuk mempunyai peluang pelaburan penting di Asia Tenggara dan Perak dipilih menjadi habnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa anak muda Perak mempersiapkan diri untuk mengambil peluang daripada pelaburan yang dibawa Geely.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi bagi mewujudkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian.

Katanya, PLANMalaysia telah bersetuju dengan cadangan lokasi berkenaan dan Exco Perak juga telah meluluskan serta menghantar cadangan itu ke Kementerian Ekonomi untuk diteliti.

Bagaimanapun, katanya, lokasi sebenar kawasan itu tidak akan didedahkan kepada umum kerana dibimbangi menyebabkan spekulasi harga tanah.