Perak teruskan program bantuan makan percuma calon peperiksaan awam - Saarani

Saarani hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Murid Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2025 di Laman Seri Ridzuan, Ipoh, malam tadi. - Foto Yayasan Perak
IPOH: Kerajaan Perak meneruskan pelaksanaan Bantuan Makanan Percuma di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) bagi calon peperiksaan awam di seluruh negeri, dengan peruntukan RM3.96 juta tahun ini berbanding RM3.42 juta tahun lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata program yang memasuki tahun kelima sejak pelaksanaannya pada 2021 itu menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usaha meningkatkan prestasi akademik anak-anak Perak.
Menurutnya, program tahun ini memanfaatkan 27,563 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri.
"Bantuan diberikan kepada pelajar yang mengikuti kelas tambahan pecutan peperiksaan melalui penyediaan makanan bernilai RM5 sehari.
"Malah, tempoh bantuan dilanjutkan daripada 20 kepada 25 hari bagi meliputi fasa persediaan paling kritikal menjelang peperiksaan, supaya murid mempunyai nutrisi mencukupi, kekal bertenaga dan fokus dalam pembelajaran," katanya pada Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Murid Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2025 di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.
Saarani berkata, inisiatif itu turut disokong oleh lima syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) termasuk Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Lembaga Air Perak (LAP), masing-masing menyumbang RM1.05 juta, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) RM750,000, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) RM560,000, dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) RM550,000.
"Sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Didik sebelum dikendalikan oleh Yayasan Perak selaku agensi penyelaras bagi memastikan bantuan sampai kepada semua sekolah di seluruh negeri dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)," katanya.
Katanya program itu kini menjadi antara intervensi penting dalam menyokong kesejahteraan calon peperiksaan serta meningkatkan kehadiran pelajar ke kelas tambahan.
Terdahulu, majlis bacaan Yasin dan solat hajat diadakan sebagai usaha rohani mendoakan kejayaan calon peperiksaan awam di negeri ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


