IPOH: Kerajaan Perak membentangkan Belanjawan Negeri 2024 melibatkan peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM1.35 bilion, yang tertinggi dalam sejarah.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan belanjawan tersebut berkata, ia melibatkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM491 juta dan perbelanjaan mengurus RM856 juta.

Menurutnya, belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

“Pelaksanaan Belanjawan Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion yang terdiri daripada hasil cukai (RM657.7 juta), hasil bukan cukai (RM392.2 juta), dan terimaan bukan hasil (RM192.6 juta) dan terimaan pembangunan RM37.0 juta.

“Jumlah hasil yang terdiri daripada hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil berjumlah RM1.24 bilion, iaitu peningkatan RM108.9 juta (9.6 peratus) berbanding sasaran tahun 2023.

“Manakala Anggaran Terimaan Pembangunan Tahun 2024 meningkat kepada RM37 juta berbanding RM25.4 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak RM11.6 juta (45.7 peratus) berbanding tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, perbelanjaan pembangunan 2024 ditokok dengan jumlah yang besar iaitu RM96 juta atau 24.3 peratus berbanding Belanjawan Tahun 2023.

Jelasnya, peningkatan tersebut bagi memenuhi keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat disokong kedudukan kewangan kerajaan negeri yang semakin mengukuh.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan bagi maksud Pembangunan bernilai RM491 juta merupakan jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, kata Saarani, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dijangka ditutup pada kadar defisit RM67.5 juta.