MALAYSIA
Peralihan kepada majalah digital bukan lagi pilihan, tetapi keperluan - DBP

Pengerusi Lembaga DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan (dua dari kanan), ketika merasmikan Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia 2025 yang berlangsung hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Peralihan daripada majalah bercetak kepada majalah digital bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan dalam dunia yang serba pantas dan dipacu teknologi, kata Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Ringkasan AI
- Menurut Datuk Dr Anwar Ridhwan, peralihan kepada majalah digital bukan sekadar pilihan tetapi keperluan demi penjimatan kos, akses yang luas dan pengalaman pembacaan interaktif, khususnya untuk generasi muda yang celik teknologi.
- Format digital menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta membolehkan penerbit kecil menembusi pasaran lebih besar tanpa keperluan cetakan dan pengedaran fizikal.
- Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari menegaskan keperluan ekosistem penerbitan media baharu yang mampan bagi memastikan ketulenan bahasa, fakta, dan nilai budaya terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia di Wisma DBP di sini hari ini.
Anwar yang juga Sasterawan Negara berkata majalah digital juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar apabila ia menghapuskan keperluan terhadap bahan bercetak yang lazimnya memerlukan penggunaan kertas, dakwat dan tenaga pengangkutan, faktor yang menyumbang kepada penebangan hutan serta pelepasan karbon.
Selain itu, beliau berkata kandungan digital turut menawarkan pengalaman pembacaan yang lebih menarik menerusi elemen interaktif seperti video, animasi, pautan serta maklum balas segera, sesuatu pengalaman yang tidak dapat disediakan oleh halaman bercetak konvensional.
"Generasi muda pula dilihat sangat erat hubungannya dengan dunia digital, menyebabkan mereka cenderung memilih penggunaan majalah digital," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari berkata biarpun perkembangan majalah digital wajar diraikan, namun isu kualiti, kredibiliti dan ketulenan kandungan perlu dititikberatkan.
Beliau berkata ini adalah kerana dalam dunia media baharu, sesiapa sahaja boleh menerbitkan apa-apa penulisan atau mencipta sebarang bentuk kandungan.
"Hal ini menjadikan tanggungjawab moral dan profesional semakin besar, terutamanya apabila melibatkan penggunaan bahasa, penyampaian fakta dan penghayatan nilai budaya," katanya.
Justeru, beliau berkata penerbitan dalam media baharu perlu disokong oleh ekosistem yang mampan termasuk latihan media digital, kesedaran literasi maklumat, dasar penyiaran yang jelas dan insentif kepada penulis atau pencipta kandungan serta wartawan berbahasa Melayu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami