BANGI: Belia memainkan peranan penting dalam memastikan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya di Malaysia mampu direalisasikan.

Profesor Adjung Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, belia juga harus diperkasakan agar berkeupayaan mengetengahkan isu-isu penting nasional dan antarabangsa ke seluruh negara.

Menurutnya, gerakan belia perlu terus memainkan peranan dalam membentuk belia menjadi insan lebih holistik dan berkeupayaan tinggi sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada komuniti dan negara.

“Sudah tentu jika melibatkan belia, aspek pendidikan juga adalah penting. Apabila kita bercakap mengenai pembelajaran, ianya bukanlah sesuatu yang diperoleh hanya dari dalam kelas sahaja.

“Begitupun, pendidikan berkualiti seperti di luar kotak bermaksud pendekatan pembelajaran secara berinteraksi atau mempelajari sesuatu dengan cara mengalaminya sendiri melalui persekitaran sebenar juga adalah elemen yang baik untuk belia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis yang membincangkan ‘Sejarah dan Kesinambungan Gerakan Belia di Malaysia dalam mengharungi Pendidikan yang Holistik’ pada Simposium Belia SDG 2022 di UKM pada Khamis.

Turut hadir dalam simposium itu adalah Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman; Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dan barisan pengurusan universiti.

“Simposium SDG 2022 seperti ini juga diharap boleh menjadi inspirasi kepada belia untuk terus mengangkat pendidikan holistik sebagai pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti,” ujar Irmohizam.