Peranan Malaysia bantu konflik Thailand-Kemboja antara tumpuan Dewan Rakyat

Antara agenda di Dewan Rakyat hari ini ialah penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.
KUALA LUMPUR: Peranan diplomasi Malaysia sebagai pemudah cara dalam konflik Thailand dan Kemboja, serta implikasinya terhadap kredibiliti negara di peringkat antarabangsa antara dibincangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dibangkitkan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) kepada Menteri Luar pada sesi soal jawab lisan sejurus sidang bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) bertanyakan Perdana Menteri berhubung status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya memandangkan fasa rintisan telah dijalankan sebelum ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu juga meminta perincian pelan peluasan jajaran fasa seterusnya bagi memastikan ketersambungan first and last-mile yang lebih efisien ke kompleks-kompleks kerajaan dan stesen pengangkutan sedia ada bagi mengurangkan kesesakan trafik di pusat pentadbiran negara.
Selain itu, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai projek berimpak tinggi yang telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara termasuk skop, lokasi dan peruntukan masing-masing serta usaha kerajaan untuk program Keselamatan Makanan Negara.
Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri.
Ia disusuli sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


