Tidak sampai dua bulan selepas kes penculikan empat rakyat Malaysia di Pulau Ligitan, berita mengenai tiga warga Indonesia diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Lahad Datu pula menggemparkan negara Sabtu lalu.

Kedua-duanya dipercayai didalangi kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Filipina, dan kedua-duanya berlaku di perairan Sabah dalam kawasan Kawalan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM).

Ia sekali gus membangkitkan pelbagai persoalan, pastinya berkaitan keberkesanan ESSCOM dalam menjaga keselamatan perairan terbabit daripada dicerobohi dan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melihat antara punca kerapnya berlaku kes pencerobohan dan penculikan di kawasan tersebut disebabkan tiada gerakan risikan daripada pihak berkuasa Malaysia bagi membolehkan segala ancaman dicantas lebih awal.

"Dulu kita wujudkan Eastern Command di mana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama, polis dengan Ops Tayang sementara tentera dengan Ops Pasir.

"Kita galakkan komando Polis Marin Malaysia untuk berada di sana untuk dapatkan maklumat daripada risikan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Petaling Jaya.

Bagaimanapun katanya, peranan Polis Marin berkurangan apabila tertubuhnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2005 dan aset-aset Polis Marin diserahkan kepada agensi tersebut.

Peranan berbeza

Walaupun penubuhannya satu inisiatif kepada mengintegrasikan agensi-agensi yang melibatkan kos dan pertindihan fungsi dan tanggungjawab, Musa menjelaskan bahawa tugas mengawal keselamatan bukan sekadar penguatkuasaan undang-undang.

"Peranan polis ini berbeza, selain menguatkuasakan undang-undang mereka juga boleh melakukan risikan.

"Laut kita luas. Kalau hanya buat rondaan tanpa risikan saya kira ia membuang masa," jelasnya.

Melihat kepada geografi perairan Sabah yang mempunyai banyak pulau, Musa melihat adalah lebih baik sekiranya satu kawasan strategik dipilih dan dijadikan pangkalan pasukan keselamatan supaya dapat memberi respons secepat mungkin andai terjadi apa-apa di sekitarnya.

Aset-aset Polis Marin yang diserahkan kepada APMM juga perlu dikembalikan supaya peranannya dapat kembali diperkasakan.

Seterusnya, kedua-dua badan tersebut perlu bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam membentuk sebuah pasukan yang lebih mampan dan cekap mengawal perairan negara khususnya di Sabah.

Bot-bot nelayan kita juga perlu dipasangkan alat sistem kedudukan global (GPS). Ia dapat memudahkan pasukan penguatkuasa menjejaki kedudukan bot sekiranya berlaku sebarang ancaman seperti rampasan, penculikan dan sebagainya.

"Sekiranya semua tindakan bersepadu ini kita ambil serius dan laksanakan dengan baik, insya-Allah kita dapat jamin keselamatan perairan kita," katanya.