Mulai 1 Ogos bas pelancong yang membawa penumpang Malaysia ke Thailand hanya dibenarkan menurunkan penumpang di sempadan Bukit Kayu Hitam sebelum mereka dibawa menggunakan bas pelancong Thailand ke lokasi percutian di negara itu.

Peraturan baru itu sekaligus memberi kesan kepada pengusaha bas pelancongan negara ini apabila mereka bakal gulung tikar akibat kemerosotan jumlah penumpang dan kenaikan kos yang tinggi.

Menurut penyelaras pelancongan Antar Holiday Sdn Bhd, Tan Su Yong, syarikatnya mengalami kerugian hampir 50 peratus apabila bas yang membawa pelancong tidak dibenarkan ke negara gajah putih itu.

Difahamkan, peraturan baru kerajaan Thailand itu disebabkan faktor keselamatan selepas beberapa kejadian letupan berlaku di beberapa lokasi pelancongan negara berkenaan.

Namun bagi Tan, akibatnya mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi apabila perlu menyewa bas pelancongan Thailand pula, kos sewaan sebanyak RM1,200 sehari untuk membawa penumpang ke Krabi dan Phuket.

Ini kerana kerajaan Thailand tidak membenarkan bas pelancong negara ini membawa masuk penumpang ke negara itu selepas tidak mendapat kelulusan permit bas daripada Thailand.

Keadaan ini menyebabkan pakej pelancongan ditawarkan di kedua-dua tempat itu terpaksa dinaikkan kepada RM1,200 seorang berbanding sebelum ini hanya RM750 seorang bagi kos mengupah jurupandu dan insurans pelancong.

Lebih dikesali, pengusaha bas juga tidak dibenarkan membawa penumpang ketika pulang ke Malaysia di mana sebelum ini dibenarkan berbuat demikian tanpa sebarang masalah.

Masalah sama turut dikongsi pemandu bas syarikat berkenaan,Chong Yong Tak, di mana beliau terpaksa menghadapi pelbagai kekangan daripada peraturan baru itu.

Justeru, mereka berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik agar syarikat bas pelancong tidak mengalami kerugian.