Skip to main content

Malaysia

Peraturan Haji 1447H/2026 diperketat demi keselamatan, keselesaan jemaah

 Haji, Mekah, Konsul
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, kerajaan Malaysia sentiasa memantau setiap peraturan baharu dan penambahbaikan yang diperkenalkan pihak berkuasa Arab Saudi. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Kerajaan Arab Saudi memperketat pelaksanaan peraturan haji bagi musim Haji 1447H/2026 sebagai langkah memastikan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah, khususnya di kawasan Tanah Haram di Mekah.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, kerajaan Malaysia sentiasa memantau setiap peraturan baharu dan penambahbaikan yang diperkenalkan pihak berkuasa Arab Saudi, memandangkan perubahan tersebut berlaku hampir setiap tahun menjelang musim haji.

Advertisement

“Setiap tahun memang akan ada peraturan baharu, namun ada juga peraturan sedia ada yang diperkukuhkan dari sudut pelaksanaan dan penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui pada sambutan ketibaan kumpulan pertama Jemaah Malaysia di Mekah.

Menurut beliau, antara peraturan utama yang dikuatkuasakan secara ketat ialah penggunaan aplikasi Nusuk sebagai satu-satunya platform kelulusan bagi jemaah untuk memasuki Tanah Haram termasuk Masjidil Haram.

“Di setiap checkpoint, pihak berkuasa Arab Saudi akan membuat imbasan dan semakan kod kelulusan. Penguatkuasaan ini sangat ketat dan dilakukan secara menyeluruh"

“Langkah ini sebenarnya bertujuan menjaga kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah itu sendiri,” jelasnya.

Tengku Mohd Dzaraif berkata, jemaah haji Malaysia secara umumnya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus membantu mengelakkan kesesakan luar jangka akibat kehadiran jemaah yang memasuki Tanah Haram secara tidak sah.

Beliau menegaskan bahawa jika kawasan tumpuan dibanjiri jemaah tanpa kawalan, jumlah jemaah boleh mencecah atau melebihi dua juta orang, sekali gus menyukarkan pengurusan kerajaan Arab Saudi dan menjejaskan ibadah jemaah dari seluruh dunia.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan Arab Saudi selaku Custodian of the Two Holy Mosques di Mekah dan Madinah.

“Alhamdulillah, Tabung Haji dan kerajaan Malaysia sentiasa menyelaraskan kerjasama bagi memastikan semua peraturan dapat disampaikan dengan jelas kepada jemaah,” katanya.

“Tahun ini denda dikenakan amat tinggi dan pemeriksaan dibuat secara menyeluruh. Pihak berkuasa Arab Saudi tidak teragak-agak membuat operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah dan hotel ke hotel bagi memastikan hanya individu yang mempunyai permit haji sah berada di Tanah Haram,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Mohd Dzaraif menjelaskan bahawa kebanyakan peraturan tersebut bukanlah baharu, sebaliknya telah diperkenalkan sejak musim haji lalu, namun pelaksanaannya kini dilakukan dengan lebih tegas.

“Ketika ini, hanya rakyat Arab Saudi yang menetap di Mekah serta warga negara GCC dibenarkan menunaikan umrah,” katanya.

Menurut beliau, situasi tersebut memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia yang tiba awal musim ini, apabila keadaan di Masjidil Haram lebih terkawal dan kurang sesak.

“Jemaah kita dapat menunaikan umrah dengan lebih selesa dan lancar. Ini adalah hikmah daripada penguatkuasaan peraturan yang lebih tegas,” katanya.

Must Watch Video