Kementerian Kesihatan masih lagi pada peringkat merangka draf bagi menggubal undang-undang baharu yang mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye berkata usaha merangka undang-undang baharu itu perlu dilakukan secara terperinci sebelum dibentangkan di Kabinet.

"Saya tidak boleh janji bila ia (draf) boleh siap kerana kita masih dalam perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menyiapkan draf tersebut.

"Selepas kertas cadangan itu siap kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan seterusnya dibentangkan di kabinet dan Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini pada Ahad.

Pada 20 Okt lepas, Dr Lee dilaporkan berkata kementeriannya sedang menggubal undang-undang baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha di negara ini dan akan dibentangkan di kabinet tidak lama lagi selepas draf mengenainya siap.

Menurutnya undang-undang sedia ada hanya membabitkan pengawalan produk tembakau bawah Akta Makanan 1983 dan produk mengandungi nikotin menurut Akta Racun 1952, tetapi tiada undang-undang bagi mengawal produk vape tiada kandungan nikotin.

Mengenai larangan merokok yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Julai ini, Dr Lee berkata setakat ini bilangan individu yang melanggar arahan itu menunjukkan penurunan sejak dilaksanakan secara berperingkat pada 1 Jan lalu.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi sokongan kepada pelaksanaan ini walaupun tiada kompaun dikeluarkan dan saya harap pelaksanaan ini berterusan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Bagaimanapun bagi tempoh enam bulan pertama Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun sebaliknya pesalah hanya akan diberikan notis amaran.