Pergerakan Puteri UMNO mencadangkan peraturan keanggotaan sayap itu dan Wanita diselaraskan bagi membolehkan mereka yang berusia antara 18 hingga 35 tahun menyertai sayap termuda parti itu secara
automatik.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pada masa ini wanita dalam lingkungan umur itu mempunyai dua pilihan sama ada menyertai Puteri atau Wanita UMNO.

"Cadangan ini bukan bertujuan merebut keahlian tetapi bagi mempermkukuhkan serta menambah keanggotaan Puteri UMNO," pada sidang media selepas perasmian Festival Wanita Muda anjuran pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Festival itu dirasmikan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Hadir sama isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Mas Ermieyati berkata cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi memastikan hasrat sayap bongsu UMNO itu tidak menimbulkan sebarang isu, khususnya daripada pergerakan Wanita.

Najib, ketika berucap merasmikan festival itu, menyeru Puteri UMNO menggalas tanggungjawab untuk menyakinkan generasi muda bahawa wadah perjuangan parti itu adalah yang terbaik untuk mereka dan negara.

Terdahulu, ketika berucap, Mas Ermieyati menyeru golongan wanita muda supaya mempunyai semangat persaudaraan yang kental dan turun padang membantu masalah sosial yang dihadapi golongan tersebut.
Katanya hal ini kerana wanita memerlukan satu sama lain untuk bergerak maju ke hadapan mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat kebangsaan malahan ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati, yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berharap Bajet 2017 pada bulan depan terus memberi pelbagai insentif kepada pembangunan golongan wanita muda supaya mereka dapat melakar kejayaan yang lebih hebat.