KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

RMK-12 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan akan dibahaskan Ahli Dewan selama empat hari.

Perkara itu berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen.

Sementara itu, isu berhubung statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus pada tahun ini, faktor dan langkah diambil untuk membendungnya turut dijangka akan dikupas pada persidangan hari ini.

Soalan itu ditanyakan Syed Ibrahim Syed Noh (PKR-Ledang) kepada Menteri Pengangkutan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Selain itu, Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) akan bertanyakan kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan penyebab kedudukan Malaysia dalam Global Food Security Indes jatuh daripada tangga 28 pada 2019 ke tangga 43 pada 2020.

Beliau turut bertanyakan apakah inisiatif Kementerian untuk memperbaiki Food Security dan harga makanan kepada lebih murah untuk kebajikan penduduk Malaysia.

Dalam masa yang sama, Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Kerajaan bersedia untuk mengkaji semula dasar ekuiti untuk syarikat penghantar fret yang sedang beroperasi memandangkan syarat ekuiti sedia ada sukar untuk dilaksanakan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober.