Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu membabitkan pihak istana Johor.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, walaupun pihak istana bebas untuk menyuarakan pandangan namun ia menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menasihati pihak istana untuk menghormati mandat yang diberikan rakyat.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perbalahan antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Dr Mahathir sebenarnya tidak baik untuk ekonomi.

"Kedudukan Perdana Menteri termaktub dalam Perlembagaan. Saya rasa ia tanggungjawab Kerajaan untuk menasihati semua pihak, termasuk pihak istana, bagi menghormati mandat yang diberi oleh rakyat.

"Pandangan saya, kita perlu fokus lebih kepada ekonomi," katanya kepada media selepas program ‘Minum Petang Bersama Presiden PKR di Permatang Pauh’ pada Isnin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, dan Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Fahmi Zainol.

Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan kenderaan TMJ beredar meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor, selepas perlawanan bola sepak membabitkan Johor Darul Ta’zim dan kelab dari China, Shandong Luneng.

Ketika kenderaan beliau melalui sekumpulan penyokong JDT, seorang individu melaungkan “tukar Mora” yang merujuk kepada Jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Kenderaan itu kemudian berhenti seketika dan dari dalam kenderaan tersebut, TMJ berkata: "Daripada tukar Mora, baik tukar Perdana Menteri" yang kemudian disambut ketawa oleh mereka yang berada di sana.