KUALA LUMPUR:Kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan hari ini, selepas mahkamah dimaklumkan yang saksi pendakwaan ke-10 merupakan kontak rapat kepada seorang rakannya yang telah diuji positif COVID-19.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan itu ke 3 Mei selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan perkara itu apabila perbicaraan itu disambung semula selepas mahkamah berehat sebentar.

“Yang Arif, ketika sesi rehat Mohd Hazem Abd Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, menerima satu pesanan ringkas daripada rakannya, yang memaklumkan rakannya itu telah diuji positif COVID-19.

“Isnin lepas, saksi kami bertemu rakannya dalam sebuah bilik mesyuarat untuk tempoh lebih satu jam dan kurang dua jam. Mereka duduk berjarakan dua meter tetapi mesyuarat mereka diadakan lebih daripada satu jam.

“Sehubungan itu, saya memohon arahan daripada Yang Arif, sama ada untuk meneruskan dengan beliau (keterangan Mohd Hazim) hari ini atau untuk memberhentikan perbicaraan untuk masa ini,” kata Ahmad Akram dan menambah bahawa sukar bagi pihak pendakwaan menyediakan saksi lain untuk memberikan keterangan hari ini.

Peguam bela bekas perdana menteri itu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya bangun dan menyatakan yang mereka “tidak mahu mengambil risiko.”