KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disingkatkan hari ini setelah Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa seorang saksi utama telah dijangkiti virus COVID-19, manakala seorang lagi merupakan kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Saksi berkenaan adalah Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin dan penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kamal Baharin Omar memberitahu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa Nur Aida yang kini sedang dikuarantin tidak dapat hadir bagi perbicaraan yang dijadualkan pada Isnin depan.

"Yang Arif, saksi pendakwaan ke-47 Adam Ariff yang akan dipanggil pada Isnin depan, kini sedang dalam 'pengawasan' kerana beliau merupakan kontak rapat dengan pesakit COVID-19," kata Kamal Baharin.

Hakim kemudian menangguhkan prosiding hari ini sehingga Isnin.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang ACP Foo Wei Min mengenai siasatan yang telah dilakukannya terhadap akaun Najib berkaitan pengubahan wang haram.

Foo, yang pertama kali memberi keterangan pada 12 Okt, selesai memberi keterangan beliau di mahkamah hari ini tetapi boleh dipanggil semula jika diperlukan.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah yang sama.

-- BERNAMA