KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy atas dakwaan meminda laporan audit syarikat itu yang dijadualkan hari ini di Mahkamah Tinggi di sini, ditangguhkan ke 28 Mac.

Penangguhan itu disebabkan peguam utama yang mewakili bekas perdana menteri itu kini berada di luar negara.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam yang mengesahkan perkara itu berkata Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hanya akan pulang dari London esok dan perlu menjalani kuarantin kendiri selama lima hari.

Beliau berkata tarikh perbicaraan minggu ini juga dilapangkan kerana peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arul Kanda mempunyai urusan di mahkamah lain.

"Perbicaraan akan disambung semula pada 28 Mac," katanya selepas prosiding hari ini dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas berikutan perkembangan terkini itu.

Dilaporkan bahawa Muhammad Shafee ke London untuk bertemu Peguam Diraja (QC) bagi mewakili Najib dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap kes melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Apabila perbicaraan disambung semula nanti, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh, 67, dijangka meneruskan keterangannya.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya dengan mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum laporan itu dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA