KUALA LUMPUR: Perbuatan khianat membaling ‘molotov cocktail’ terhadap kediaman Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham tidak boleh diterima dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

Justeru, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pihak polis untuk segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu sambil menyifatkan ia bercanggah dengan undang-undang malah mencabuli prinsip kehidupan masyarakat dalam negara yang aman dan harmoni.

"Pada masa yang sama, tindakan Ngeh mengaitkan Bersatu dan Pas dalam insiden tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan kerana apabila dicampuri orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

"Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu agar berhati-hati dalam melontarkan sesuatu pandangan.

"Apatah lagi jika ia menyentuh mengenai hal-hal sensitif kerana kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelangga sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kediaman serta tiga kereta milik Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung terbabit kebakaran dengan polis mengesahkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat, hasil penemuan botol digunakan sebagai bom petrol atau 'molotov cocktail' di lokasi kejadian.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

Ahli Parlimen dari DAP itu mendapat perhatian meluas susulan cadangan beliau agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Beliau bagaimanapun memohon maaf dan menarik semula cadangannya itu selepas dikritik pelbagai pihak khususnya daripada masyarakat Islam.