Skip to main content

Malaysia

Percepat projek Jambatan Sungai Durian, tiada kompromi terhadap kelewatan - Nanta

Projek Penggantian Jambatan Sungai Durian
Advertisement

KOTA BHARU: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan kontraktor mempercepat pelaksanaan Projek Penggantian Jambatan Sungai Durian di Kuala Krai, selepas mendapati projek itu masih mengalami kelewatan walaupun telah diberikan enam lanjutan masa (EOT).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu dimaklumkan kepada kontraktor terlibat ketika beliau mengadakan tinjauan mengejut ke tapak projek berkenaan bagi menilai sendiri perkembangan semasa pelaksanaannya.

Beliau berkata antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan ialah kerja pemasangan cerucuk gerek (borepile) yang terjejas akibat halangan paip utiliti sedia ada serta isu berkaitan struktur sokongan sementara jambatan besi.

“Kelewatan ini tidak boleh berterusan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, semalam.

Nanta berkata beliau telah mengingatkan kontraktor supaya menambah sumber di tapak, mempercepatkan pelaksanaan kerja serta menyelesaikan semua isu teknikal dengan segera bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata rakyat telah terlalu lama menunggu projek berkenaan disiapkan dan ia perlu diselesaikan mengikut jadual semasa demi memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Saya tidak akan berkompromi dengan sebarang kelewatan yang berpunca daripada kelemahan pelaksanaan. KKR dan JKR akan terus memantau rapi hingga projek ini siap dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement