KUALA LUMPUR: Di sebalik kesibukan tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu malam sempat meluangkan masa menyantuni mentornya yang juga bekas Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Anuar Mohd Yunos, jelas kelihatan kemesraan antara 'anak murid' dan bekas bossnya itu. 

Turut mencuri perhatian adalah sekeping gambar yang memaparkan Perdana Menteri menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya selepas selesai sesi pertemuan selama dua jam.

Jelas Anuar, momen yang cukup indah itu mencerminkan bagaimana sikap rendah diri Perdana Menteri yang mengenang budi dan jasa Sabbaruddin.

"Pada pertemuan selama hampir dua jam itu, mereka berbual pelbagai perkara. Sudah tentu mengenang kisah lama, cerita suka-duka dan pahit-manis dalam politik.

"Mereka turut berbincang mengenai senario politik terkini termasuk konsep Keluarga Malaysia yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

"Ketika pulang, Ismail Sabri turut merendah diri membantu menolak kerusi roda Sabbaruddin ke kenderaannya, menjadikan satu momen yang cukup indah bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas bossnya," demikian menurut hantaran tersebut.

Melihat layanan Perdana Menteri itu, mengingatkan Anuar terhadap pesanan 'apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit, andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia.'

Beliau dalam masa yang sama turut menzahirkan rasa terharu terhadap melihat sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri itu.

Sabbaruddin, 80, merupakan sifu politik kepada Perdana Menteri, selain individu yang bertanggungjawab membawa Ismail Sabri ke dunia politik.

Perdana Menteri dilantik sebagai Setiausaha Politik Sabbaruddin pada 1995 hingga 1999 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.

Sebelum menjawat jawatan Perdana Menteri, Ismail Sabri juga dilihat turut mengunjungi Sabbaruddin.

 
Sumber Facebook permalink.php?story_fbid=2980639892210258&id=100007928296971"><