SHAH ALAM: Pembangunan bagi projek peremajaan bandar di Shah Alam dijangka mula dilaksanakan pada suku ketiga tahun hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas.

Mahmud berkata projek yang dijangka menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan dimulakan di kawasan berhadapan stesen transit aliran ringan 3 (LRT 3) Dato Menteri dengan pihaknya merancang untuk menambah baik bangunan di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata projek itu yang akan dilaksanakan di sekitar PKNS SQ akan melibatkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 antaranya Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall serta beberapa plot berhampiran dengan stesen LRT 3 Dato Menteri.

"Pembangunan PKNS SQ terdiri daripada beberapa komponen antaranya pangsapuri perkhidmatan, hotel, serviced suites dan juga penaiktarafan pusat beli-belah serta SACC Walk. Ia akan menekankan konsep Transit Oriented Development (TOD) together with Smart City Concept.

"Projek ini dijangka mengambil masa agak panjang tetapi insya-Allah, kita jangka ia siap lebih 90 peratus pada 2028," katanya selepas program Shah Alam Trees For Life di Taman Tasik Shah Alam pada Rabu.

Mahmud berkata projek peremajaan itu adalah seiring dengan usaha pihaknya dalam menjadikan Shah Alam sebagai sebagai bandar raya sifar karbon dengan bangunan yang dinaik taraf akan menggunakan sistem 'centralized chill water'.

"Kita juga akan mengguna pakai sistem tenaga hijau selain merancang untuk membina sambungan (pejalan kaki) bangunan ke bangunan bermula dari pejabat kita (PKNS) di sini sehingga Stesen LRT Dato Menteri," katanya.

Terdahulu, menerusi program kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama PKNS itu, sebanyak 2,440 batang pokok daripada pelbagai spesies tempatan akan ditanam di pelbagai lokasi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan bagi menambahkan keindahan landskap bandar raya itu.

Mahmud yang mewakili PKNS turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada MBSA yang diwakili Pemangku Datuk Bandar itu Cheremi Tarman sebagai sokongan pihaknya dalam menjayakan program berkenaan di samping tanda usaha perbadanan itu bersama-sama memperkasakan inisiatif penghijauan.

Selain itu katanya, kerjasama berkenaan merupakan satu daripada program yang menyokong ke arah pemulihan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan amalan tadbir urus (ESG) di PKNS.

Sementara itu, Cheremi berkata sebanyak 177,899 pokok pelbagai jenis telah ditanam di PBT berkenaan melalui program itu sejak 2010, membabitkan 22,256 sukarelawan.

-- BERNAMA