Skip to main content

Malaysia

FAMA buka peluang latihan industri dalam sektor agromakanan

61638716335_FAMA.jpg
Aminuddin berkata pemberian elaun latihan industri akan disediakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa agensi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka peluang kepada pelajar menyertai program latihan industri dalam sektor agromakanan, bertujuan memperkasakan bakat muda dalam sektor itu.

Program itu terbuka kepada pelajar peringkat diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang kritikal termasuk ekonomi, pemasaran, pengurusan perniagaan, perniagaan tani dan pengurusan perladangan.

Advertisement

Selain itu, pelajar daripada bidang teknikal dan profesional seperti kejuruteraan, statistik, undang-undang  serta bidang guna sama merangkumi pengurusan sumber manusia, multimedia, kewangan dan teknologi maklumat juga digalakkan untuk memohon.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli dalam kenyataan hari ini berkata pemberian elaun latihan industri akan disediakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa agensi.

Beliau berkata pelajar yang mengikuti latihan industri di FAMA akan didedahkan secara menyeluruh kepada operasi harian merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri agromakanan.

“Antaranya termasuk pengalaman di Pusat Memproses Makanan FAMA Rengit (PMMFR) yang membolehkan pelajar memahami proses penghasilan produk bermula dari peringkat ladang sehingga ke pemasaran di outlet seperti Agrobazaar,” katanya.

Aminuddin berkata pelajar turut didedahkan kepada aspek pengurusan logistik dan rantaian bekalan, melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti lapangan.

Beliau berkata perkara itu seperti pengumpulan hasil pertanian termasuk mangga Harumanis di Perlis dan tembikai di Terengganu, bagi memastikan kualiti produk terpelihara sehingga sampai kepada pengguna.

Pelajar juga berpeluang terlibat dalam program berskala besar seperti Jualan Agro MADANI (JAM) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), sekali gus memberi pendedahan dalam aspek pengurusan acara, penyelarasan logistik dan interaksi bersama pelanggan.

“FAMA turut memberi penekanan terhadap pematuhan piawaian industri bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar. Ini termasuk pendedahan kepada prosedur serta keperluan pensijilan penting seperti Sijil Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta standard kualiti lain yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pelajar yang berminat boleh memuat turun borang rasmi latihan industri melalui laman sesawang rasmi FAMA di www.fama.gov.my/borang dan permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan melalui emel kepada [email protected].

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan dengan menghubungi talian 03-6033 2020.

-- BERNAMA

Must Watch Video