MALAYSIA
Pergi Thailand, tapi buat laporan hilang, pempengaruh Ija Nizaruddin, adik dihukum penjara sebulan

Pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dikenali sebagai Ija (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Muar pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MUAR: Pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya Tengku Abdul Aziz, masing-masing dihukum penjara sebulan dan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana membuat laporan palsu.
Ringkasan AI
- Dua beradik, Tengku Nizaruddin dan Tengku Abdul Aziz, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu berhubung kehilangan di Sungai Tui, Bukit Kepong pada 14 Julai.
- Laporan palsu tersebut mencetuskan operasi mencari dan menyelamat selama empat hari melibatkan aset dan anggota Jabatan Bomba serta PDRM, termasuk unit PPDA dan K9, sebelum Tengku Nizaruddin menyerah diri pada 19 Julai.
- Siasatan mendapati kereta dihumban ke sungai secara sengaja, dan Tengku Nizaruddin cuba melarikan diri ke Thailand, namun dikesan oleh Jabatan Imigresen; kedua-dua tertuduh membayar denda dan diwakili peguam YBGK.
Tengku Nizaruddin didakwa bersubahat dengan adiknya, dengan mengarahnya untuk memberi maklumat palsu kepada seorang anggota polis bahawa dia telah hilang dan tidak dapat dihubungi sejak 4 petang, 14 Julai lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tengku Abdul Aziz pula didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis berhubung kehilangan abangnya itu pada 11.38 malam 14 Julai, di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Lenga di sini dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dan Yasmin Mohd Piah memohon hukuman penjara dan denda terhadap kedua-dua lelaki itu, memandangkan kesalahan tersebut serius, membazirkan sumber tenaga dan aset Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Muar, selain memperlekehkan usaha pihak berkuasa.
“Kesalahan itu merupakan kesalahan common dan kerap dilakukan, jadi bila kes ini viral diharapkan ia dapat memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Peguam Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili dua beradik itu, merayu hukuman denda atas alasan anak guamnya itu telah menyesal selain telah memohon maaf kepada pihak bomba dan polis, serta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kedua-dua mereka merupakan penanggung utama keluarga, mempunyai anak dan ini merupakan kesalahan pertama mereka, jadi kami memohon mereka dikenakan hukuman denda,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, pada 14 Julai Tengku Abdul Aziz membuat laporan berhubung kehilangan abangnya dan keesokan hari, orang awam menemukan sebuah kereta dipandu abangnya dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, Muar pada 3 petang.
Operasi mencari dan menyelamat bermula pada hari sama membabitkan JBPM dan Jabatan Sukarelawan (RELA) dengan kejadian sebenar terbongkar pada jam 12.30 tengah malam, 19 Julai yang kedua-dua lelaki membuat laporan palsu.
Siasatan mendapati dua beradik itu dari Johor Bahru bergerak berasingan dan Tengku Nizaruddin meminta adiknya meneruskan perjalanan manakala dia ke arah Pagoh.
Sebaik tiba di lokasi, Tengku Nizaruddin didapati menenggelamkan kereta terbabit di sungai itu dan meminta adiknya datang menjemput, sebelum memasuki Thailand melalui Padang Besar di Perlis.
Terdapat rekod pergerakan masuk Tengku Nizaruddin dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selain tiket penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai, bertarikh 17 Julai yang ditempah sehari sebelum itu.
Selain itu, Tengku Nizaruddin turut menempah perkhidmatan e-panggilan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibatnya di Terminal Bas Seremban, pada 9.25 malam, 14 Julai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami