Pergolakan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) merupakan petunjuk kepada satu isu yang lebih besar dalam agensi perladangan bersepadu itu sendiri.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, rakyat sendiri berasa pelik dengan punca timbulnya isu berkaitan tunggakan bayaran.

"Ia umpama pepatah Inggeris 'A tip of the iceberg'. Rakyat berasa pelik apabila kemelut ini timbul hanya kerana soal pembayaran lewat dengan syarikat Afghanistan yang sudah berpuluh tahun berurus niaga dengan kita.

"Maknanya pelanggan setia. Pasti sudah wujud aras kepercayaan yang tinggi di antara kedua belah pihak. Jika ditanya berapa jumlahnya? RM41 juta? RM70 juta?

"Tidak mungkin Felda sebagai sebuah organisasi yang besar mempunyai masalah untuk menunggu pembayaran dari rakan niaga yang setia dan jumlahnya tidaklah terlalu membebankan. Risikonya mungkin sudah dikaji," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Kemelut FGV: Bagaimana ia bermula

BACA: Selesaikan segera kemelut FGV - Johari Ghani

Bastien mengulas pergolakan dalaman FGV sehingga empat pegawai kanannya diarah bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Pada Selasa, Pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad mengeluarkan arahan bercuti itu kepada empat pegawai kanan berkenaan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan untuk menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Mereka yang diarah bercuti adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.

Dalam pada itu, Bastien mempersoalkan mengapa isu itu ditimbulkan sekarang sedangkan ada lagi pelaburan yang rugi dibuat oleh FGV sebelum ini.

"Ada pelaburan rugi lain yang mungkin jauh lebih perlu untuk diambil tindakan berbanding kelewatan pembayaran yg melibatkan Delima Oil. Belum tentu mereka tidak bayar, masih di peringkat 'lewat bayar'

"Sudah tentu pentadbiran FGV tahu sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa, berita-berita begini mengundang kemudaratan kepada harga saham. Melibatkan ramai pemegang saham. Di mana pertimbangan itu?

"Banyak kerugian lain yang lebih memerlukan tindakan proaktif sebegini. Mungkin ada sebab lain," jelasnya.

Bastien turut menyokong siasatan pelaburan-pelaburan yang merugikan oleh dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Seharusnya ia perlu menyeluruh dan tidak kira sesiapa termasuk CEO sendiri kerana ianya melibatkan kepentingan awam dan nama baik Felda sebagai sebuah entiti besar negara," ujarnya.

Pada Khamis, lebih 10 pegawai SPRM hadir di Ibu Pejabat FGV bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu.