MALAYSIA
Perhalusi cadangan tindakan kedua-dua pihak kes rogol 'suka sama suka' - Mufti Kelantan

Mohamad Shukri berkata meskipun ia hanya pandangan peribadi, cadangan itu menyentuh aspek keadilan dan pelaksanaan undang-undang sivil serta syariah yang sedang berkuat kuasa. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed menyifatkan cadangan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua pihak dalam kes rogol melibatkan hubungan sukarela atau 'suka sama suka' wajar diperhalusi.
Mohamad Shukri berkata meskipun ia hanya pandangan peribadi, cadangan itu menyentuh aspek keadilan dan pelaksanaan undang-undang sivil serta syariah yang sedang berkuat kuasa.
"Secara peribadi, saya berpandangan undang-undang sedia ada perlu dinilai semula supaya setiap pihak yang terbabit diberi perhatian adil.
"Malah, dalam apa-apa tindakan, ibu bapa juga wajar dilibatkan terutama apabila kes melibatkan remaja bawah umur dan bukan sekadar diselesaikan begitu sahaja," katanya kepada Bernama hari ini.Beliau berkata setiap masalah sosial harus ditangani daripada peringkat akar umbi dan bukan hanya selepas kes berlaku.
"Seperti masalah dadah, kerajaan berbelanja besar untuk menanganinya tetapi pembentukan hati dan iman sepatutnya ditekankan sejak di bangku sekolah lagi," ujarnya.
Mohamad Shukri berkata penyelesaian yang lebih terbuka perlu dirangka bagi mengelakkan ketidakadilan dalam isu berkaitan kesalahan moral dan jenayah syariah di negara ini.
Baru-baru ini, Mohd Yusoff mencadangkan agar hukuman ke atas pesalah kes rogol 'suka sama suka' turut dikenakan terhadap kedua-dua pasangan yang terlibat supaya keadilan dapat dicapai.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini dilaporkan berkata kenyataan Mohd Yusoff itu adalah pandangan peribadi yang lahir daripada kebimbangan terhadap angka dan statistik kes seksual di Kelantan.
- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami