LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mahu operasi pemantauan serta rondaan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diperhebat termasuk melibatkan penggunaan pesawat pejuang dan helikopter.

Komandernya DCP Victor Sanjos berkata gerakan bersepadu itu perlu ditingkatkan khususnya di kawasan yang disyaki menjadi laluan penjenayah rentas sempadan sekali gus mengekang dan menyekat kumpulan penculikan untuk wang tebusan (KFRG) daripada menyelinap masuk ke perairan Sabah.

"Semasa saya dilantik menjadi Komander ESSCom ini, saya mahu melihat masyarakat ESSZone khususnya pelancong asing yang datang ke pantai timur ini berasa yakin dengan tahap keselamatan mereka semasa berada di sini.

"Sebab itu keberadaan dan 'show of presence' pasukan keselamatan di kawasan-kawasan 'hotspot' perlu bagi memberi kawalan keselamatan dan perlindungan kepada pelancong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Victor, yang juga anak jati Keningau, mengambil alih jawatan Komander ESSCom daripada DCP Mohd Ali Tamby pada 7 Jun lepas.

Menurut Victor, meskipun keadaan keselamatan di ESSZone terkawal daripada sebarang ancaman, kesiapsiagaan dan keberadaan pasukan keselamatan di lokasi strategik dan menjadi tumpuan orang ramai penting bagi menangkis cubaan anasir luar untuk mengganggu gugat kestabilan keselamatan di ESSZone.

Dalam pada itu, beliau berkata ESSCom melalui kerjasama semua pihak berusaha menangani persepsi mengenai keselamatan di ESSZone kerana beberapa negara luar termasuk Jepun dan Korea masih tidak membenarkan rakyat mereka memasuki beberapa kawasan di pantai timur Sabah.

"Pasukan keselamatan berjaya menyekat kejadian penculikan di perairan beberapa tahun kebelakangan ini, namun mungkin masih wujud kebimbangan dan persepsi terhadap keselamatan di pantai timur Sabah berdasarkan nasihat perjalanan dikeluarkan negara tersebut kepada rakyatnya di negara ini.

"ESSCOM melalui kerjasama semua pihak akan berusaha melakukan tindakan proaktif menggunakan kaedah dan pendekatan yang efektif dalam menangani persepsi ini," katanya.

Selain itu, Victor mahu komuniti maritim ESSZone mengambil peranan dengan bekerjasama bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

-- BERNAMA