Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri termasuk berswafoto jika terserempak dengan binatang buas.

Ketua pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ia bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku sehingga mengundang risiko.

Menurutnya orang ramai diminta menghubungi Perhilitan dengan segara bagi tindakan lanjut.

“Kita harap di masa akan datang tak ada lagi orang awam yang membuat provokasi ambik gambar selfie apa semua tu takut membahayakan diri sendiri dan juga harimau.

“Jadi kalau ada apa-apa boleh buat laporan terus kepada Perhilitan negeri Terengganu dan tindakan akan diambil secepat mungkin.

“Bukan di sini sahaja, di tempat pun kalau ada isu pasal gajah, harimau atau beruang, Perhilitan akan ambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA: Harimau 'jinak' berkeliaran di kampung berjaya ditangkap

Pada Khamis, penduduk di Kampung Besol, Bandar Bukit Besi, Dungun gempar apabila dua ekor harimau yang kelihatan jinak berlegar di kawasan kediaman mereka.

Kehadiran ‘pak belang’ itu turut dirakam penduduk kampung sebelum ditular menerusi laman sosial.