Skip to main content

Sukan

Sukan Asia 2026: Jepun, China bukan mudah tapi saya yakin mampu menang - Azizulhasni

GLASGOW, 1 Ogos -- Jaguh berbasikal lelaki negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara keirin lelaki di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Sir Chris Hoy Velodrome hari ini._BERNAMA
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata peluang untuk kembali memburu kejayaan di pentas Sukan Asia tetap terbuka jika dapat menjalani persiapan rapi tanpa berdepan sebarang masalah atau kecederaan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejayaan menjuarai acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 mengukuhkan keyakinan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 khususnya dalam berdepan pelumba Jepun dan China.

Pelumba berusia 38 tahun itu berkata peluang untuk kembali memburu kejayaan di pentas Sukan Asia tetap terbuka jika dapat menjalani persiapan rapi tanpa berdepan sebarang masalah atau kecederaan.

Keyakinan juara dunia keirin 2017 itu turut bersandarkan pengalamannya pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 apabila berjaya menewaskan pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya untuk meraih emas acara pecut individu, selain membawa pulang perak pecut berpasukan dan gangsa keirin.

“Saya rasa kalau tak ada isu, tak ada masalah, tiada kecederaan dan dapat membuat persiapan yang mantap, Sukan Asia bukanlah satu masalah yang besar. Sudah tentu bukan mudah kerana kita tahu Jepun dan China memang pencabar terbesar dan pelumba mereka juga bertaraf dunia.

“Kalau kita lihat semula bagaimana saya berjuang pada Sukan Asia Jakarta-Palembang, walaupun pelumba Jepun dan China menjadi pilihan utama, apabila saya dapat memberikan prestasi terbaik, saya mampu menang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada edisi 2018, Azizulhasni menewaskan Fukaya dalam dua perlumbaan final untuk memenangi emas pecut individu di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Beliau turut membantu skuad negara yang dibarisi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis meraih perak pecut berpasukan selepas tewas kepada China dalam final, sebelum menutup kempen dengan gangsa keirin.

Azizulhasni bagaimanapun terlepas peluang mempertahankan gelaran pada edisi Hangzhou 2022 yang berlangsung pada 2023 selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrom Nasional, Nilai menjelang temasya sukan itu.

“Saya cuma kecewa ketika Hangzhou kerana saya tidak dapat pergi. Seminggu sebelum itu saya mengalami kemalangan dan disebabkan kecederaan, saya tidak dapat beraksi di sana,” katanya yang turut pernah merangkul emas dalam acara keirin pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 bulan lepas, pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu menamatkan kempen terakhirnya di temasya berkenaan dengan penuh bergaya apabila akhirnya meraih emas keirin di Velodrom Sir Chris Hoy.

Kemenangan itu turut menambah koleksi gemilang Azizulhasni yang pernah muncul juara dunia keirin pada 2017 serta meraih gangsa Olimpik Rio 2016 dan perak Olimpik Tokyo 2020 dalam acara sama.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt di Jepun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement