KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan telah menghantar sebuah pasukan bagi menjejaki seekor harimau belang yang dilaporkan dilanggar sebuah kereta pada 8 Julai lepas.

Pengarah Perhilitan Kelantan Hafid Rohani memaklumkan pihaknya menerima satu laporan membabitkan seekor harimau belang dengan jantina belum dipastikan, dirempuh sebuah kereta dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah jalan alternatif di Machang.

Hafid berkata, harimau dengan anggaran berat lebih 120 kilogram itu dipercayai mengalami kecederaan susulan kemalangan itu.

Bagi memastikan harimau berkenaan tidak diganggu atau mengganggu, pihaknya sedang menjejaki harimau belang berkenaan di hutan sekitar Machang.

Cerita Sebalik Berita: PERHILITAN jawab kes harimau dilanggar


Sebelum ini tular video harimau belang yang dirempuh sebuah kereta di sebatang jalan dipercayai di Machang.

Rakaman dipercayai diambil dari kamera "dashboard" kereta itu yang kemudiannya dimuat naik di laman sosial TikTok sebelum tular sejak beberapa hari lalu.

Selepas dirempuh kereta berkenaan, harimau berkenaan dirakam melarikan diri ke dalam kawasan hutan berhampiran jalan terbabit