KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor beruang matahari atau nama saintifiknya Helarctos malayanus yang berkeliaran di sekitar kampung dan kebun di Kampung Batu Melintang, Jeli, semalam.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata beruang matahari tersebut merupakan seekor daripada dua yang dikesan berkeliaran di kampung tersebut sejak September lepas.

Beliau berkata beruang matahari yang ditangkap itu akan diperiksa oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan sebelum dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia.

"Pada 30 Sept lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Jeli telah menerima aduan berkenaan dua ekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kampung dan kebun. Kehadiran beruang ini telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung untuk keluar bekerja.

"Pada hari yang sama, kakitangan Pejabat Perhilitan Daerah Jeli telah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan telah memasang satu unit perangkap beruang di lokasi aduan dengan umpan buah-buahan telah digunakan untuk menarik perhatian hidupan liar tersebut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Hafid berkata haiwan itu dipercayai telah keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor yang terletak berhampiran dengan Kampung Batu Melintang untuk mencari makanan.

"Tindakan pemasangan perangkap dan pemantauan berterusan akan diteruskan di Kampung Batu Melintang dan kawasan sekitar yang berdekatan kerana masih terdapat seekor lagi beruang matahari berkeliaran di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata khidmat nasihat dan langkah mitigasi telah diberikan kepada penduduk kampung supaya membersihkan kawasan semak di sekitar kampung dan kebun, sentiasa berteman semasa ke kebun, memasang lampu di sekeliling luar rumah pada waktu malam serta tidak masuk ke kawasan kebun pada waktu malam.

"Orang ramai juga adalah disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada melalui talian Hotline Perhilitan 1-800-88- 5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

-- BERNAMA