SUNGAI SIPUT: Seekor gajah liar yang dilaporkan mengganggu kediaman penduduk Orang Asli di Pos Perwor di sini berjaya dipindahkan dalam satu operasi pemindahan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata gajah betina berusia antara 12 hingga 15 tahun itu merupakan kumpulan gajah daripada ID (kumpulan gajah) Piah.

Beliau berkata pihak Perhilitan telah menerima aduan serius daripada penduduk berkenaan konflik gajah yang mengganggu kawasan tersebut.

"Gajah ini dipercayai seekor daripada ID Piah yang membuat gangguan di kawasan kampung dan kawasan sekolah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi berkenaan di sini hari ini.

Mohammad Abu Huzaifah yang juga ketua operasi berkata proses pemindahan yang memakan masa kira-kira empat jam itu melibatkan 30 individu membabitkan pihak polis, Perhilitan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah dan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka bagi memindahkan gajah yang dianggarkan seberat dua tan itu.

Mohammad Abu Huzaifah berkata dua ekor gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu iaitu Kala dan Suria digunakan pada operasi hari ini bagi memujuk dan menarik gajah liar terbabit sehingga menaiki lori.

"Untuk kita nak pindahkan gajah, dua ekor gajah ini akan masuk untuk ditarik gajah ke lori, jadi dia akan masuk, kita terus ikat dan masuk ke dalam lori. Selalunya kita akan lepaskan (gajah liar berkenaan) ke habitat asal, ke kawasan yang sesuai dengannya," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Takong, Pos Perwor, Ali Long, 52, berkata penduduk berasa lega apabila tindakan pantas pihak Perhilitan berjaya menangkap gajah yang sering menganggu kampung itu.

Menurut Ali, gajah berkenaan sering menceroboh ke kampung berhampiran dan kehadiran hidupan liar berkenaan telah memusnahkan rumah penduduk serta sekolah.

"Keadaan itu menyebabkan penduduk kampung berada dalam ketakutan sehingga murid-murid takut pergi sekolah. Gajah sering datang pada waktu malam," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan bangunan dan beberapa kelengkapan Sekolah Kebangsaan Pos Perwor dekat Lasah di sini mengalami kerosakan teruk selepas diserang sekumpulan gajah liar dalam kejadian pada 8 Jun lalu.

-- BERNAMA